Laman Blog Cerpen Bahasa Melayu Tingkatan 4. Dikendalikan oleh Cikgu Farina Aida Said, Guru Bahasa Melayu MRSM Mukah, Sarawak.
Sunday, 5 February 2012
SALAM MAULIDUR RASUL 2012
Tanggal 12 Rabiulawal merupakan satu tarikh keramat dalam sejarah umat Islam di seluruh dunia. Kedatangan Nabi Muhammad merupakan satu rahmat terbesar dan anugerah teragung yang Allah berikan kepada alam semesta ini. Manusia pada saat itu berada dalam kekufuran, kegelapan syirik, tidak mengenal pencipta mereka. Pada masa tersebut, penyembahan terhadap berhala-berhala adalah merupakan satu penghormatan, perzinaan adalah suatu kebanggaan, mabuk dan berjudi berleluasa, merompak serta membunuh adalah suatu keberanian. Sehubungan ini Allah mengutus seorang Rasul yang ditunggu oleh umat manusia untuk menghentikan semua kerosakan ini dan membawanya kepada cahaya Ilahi.
Bersempena sambutan Maulidur Rasul yang diadakan saban tahun menuntut kita sama-sama menghayati dan mencontohi ketabahan serta kesungguhan baginda dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam sehingga terpancar kecemerlangan dan kegemilangan Islam merentasi dunia timur dan barat. Selain itu, nabi Muhammad juga amat dikenali sebagai seorang yang suka menghubungkan silaturrahim, menolong orang yang dalam kesusahan, membantu anak yatim dan ibu tunggal, seorang yang pemurah dan sebagainya.
Oleh yang demikian wajarlah kita merenung kembali sirah Rasulullah (S.A.W) dan mengkaji sendiri tentang manusia teragung ini dan peranannya dalam pembangunan manusia sejagat. Maulidur Rasul juga merupakan masanya bagi umat Islam untuk memperingati semula Rasulullah s.a.w. dan seterusnya menjadikan contoh sifat dan kehidupannya kerana baginda adalah teladan terbaik.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment