Friday, 27 January 2012

Cerpen 3:Mellisa

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Hari ini saya ingin kongsikan cerpen Tingkatan 4 Mellisa. Cerpen hasil karya Abdullah Hussain ini memaparkan cerita bertemakan percintaan antara dua insan yang berbeza budaya. Ini adalah kerana Mellisa iaitu watak utama cerpen ini yang merupakan seorang gadis berketurunan Cina. Dia pernah menyulam kasih semasa zaman kanak-kanaknya dengan seorang budak keturunan Minang iaitu Hisyam. Namun, perasaan itu kecundang kerana kematian menjemput Hisyam akibat rusuhan 13 Mei. Setelah dewasa, Mellisa jatuh cinta dengan Syahid yang juga pemuda Melayu dan seiras Hisyam. Namun, Mellisa terpaksa meninggalkan Syahid tanpa berita kerana telah dipanggil bertugas sebagai tentera. 

 Binaan plot Cerpen Mellisa

1. Permulaan
Mellisa atau Mei terperanjat melihat Syahid yang persis Hisyam kekasih zaman kanak-kanaknya setelah diperkenalkan oleh Farid di pejabat surat khabar. Bagi Mei, Hisyam seolah-olah wujud dalam diri jejaka itu menyebabkan mereka mudah mesra dan akhirnya Mei menerima pelawaan Syahid untuk makan tengah hari. Mei seolah-olah telah jatuh cinta pandang pertama kepada Syahid.

2. Perkembangan
Mei teringat akan Hisyam, hero masa kecilnya yang selalu bermain dan menjaga keselamatannya. Hisyam juga sering menyatakan hasratnya akan mengahwini Mei apabila dewasa kelak. Kematian Hisyam dalam rusuhan kaum 13 Mei cukup berbekas dalam dirinya menyebabkan dia sering dihantui pertanyaan demi pertanyaan tentang punca peristiwa tersebut boleh meletus dalam kehidupan masyarakatnya. Akhirnya,
persoalan tersebut mendapat penjelasan apabila Mei menjalankan latihan ilmiah untuk ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sejarah. Hubungan kilatnya dengan Syahid semakin akrab.

3. Klimaks
Mei mendapat panggilan menjadi tentera setelah selesai menghabiskan pengajiannya dalam bidang Sejarah. Keputusan Mei meninggalkan Syahid untuk mencapai impiannya membuahkan perasaan marah dalam diri Syahid kerana Syahid berasa seolah-olah dipermain-mainkan oleh Mei.

4. Peleraian
Akhirnya gadis keturunan Cina ini melupakan keperluan dan angan-angannya untuk menjadi kekasih yang baik dan isteri yang taat demi ingin melihat negara dan rakyatnya hidup dengan aman damai dan harmoni sebagai satu bangsa yang merdeka. Yang penting sekali agar peristiwa 13 Mei itu tidak akan berulang lagi.

Klik Link ini untuk Download slide Powerpoint yang saya sediakan 


No comments:

Post a Comment